Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya khuatir tindakan Farid Kamil yang membuat laporan polis terbaharu di Balai Polis Damansara semalam berkemungkinan menimbulkan subjudis.

Katanya, ini kerana, kes pelakon itu yang didakwa sengaja menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta mengganggu tugas penjawat awam pada 11 Januari lalu masih lagi dalam proses perbicaraan di mahkamah.

“Kita sahkan ada terima laporan polis daripada pelakon itu di Balai Polis Damansara semalam. Laporan yang dibuat olehnya itu ada kaitan dengan kejadian sebelum, semasa dan selepas dia ditahan pada 11 Januari lalu.

“Dalam laporan itu ada banyak perkara yang dikemukakannya membabitkan beberapa individu termasuk rakannya sendiri, orang awam dan juga anggota polis. Bagaimanapun, kita akan adakan siasatan lanjut berhubung laporan yang dibuat.

“Namun, kita nasihatkan supaya dia merujuk dahulu kepada peguamnya sebelum membuat laporan polis. Ketika ini kes tersebut masih berjalan di mahkamah dan kita khuatir ia akan menimbulkan keadaan subjudis,” katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dalam majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Shah Alam di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fadzil turut mengingatkan Farid Kamil supaya bertanggungjawab terhadap semua laporan polis, yang mana pelakon itu perlu memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberikan keterangan.

Pada 11 Januari lalu, Farid Kamil ditahan selepas menampar seorang anggota polis trafik selain menendang dua orang awam di Balai Polis Kota Damansara.

Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.20 petang ketika pelakon filem itu dikatakan hadir ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berhubung kes kemalangan jalan raya sebelum dia tiba-tiba mengamuk.