Boon Poh, 65, ditahan sele­pas hadir di Pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, kira-kira pukul 2.45 petang bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes kilang terbabit yang didakwa ‘kebal’ kerana dilindungi pihak berkuasa.

Beliau yang merupakan Penge­rusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri akan direman di Mahkamah Sesyen Georgetown pagi esok bagi membantu SPRM menyiasat aduan penduduk ter­sebut yang mendakwa kilang ter­babit tidak pernah diambil tin­dakan meskipun puluhan laporan diserahkan kepada pihak bertang­gungjawab sebelum ini.

Turut ditahan hari ini ialah dua beranak membabitkan seorang lelaki berusia 37 tahun dan ba­panya 70 tahun yang merupakan pemilik kilang berkenaan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri pukul 6.30 petang.

Difahamkan, kilang mempro­ses serbuk kayu yang sudah beroperasi hampir 10 tahun itu bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah memudaratkan kesihatan penduduk setempat selain dikesan beroperasi tanpa permit sah di atas tanah berstatus pertanian.

Terdahulu, SPRM turut menyerbu pejabat Exco tersebut bagi mendapatkan dokumen berkaitan operasi kilang berkenaan kira-kira pukul 11.25 pagi di tingkat 53, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), dekat sini.

Di samping itu, enam anggota SPRM turut menyerbu kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu kira-kira pukul 5.30 petang di Taman Desa Oren bagi mencari dokumen berkaitan kes tersebut.

Dalam pada itu, peguam Boon Poh, R.S.N Rayer berkata, pihak­nya ketika ini masih tidak mendapat maklumat jelas berhubung penahanan Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang berkenaan.
 “Pada mulanya kita diarahkan hadir untuk memberi keterangan namun kemudian dimaklumkan Boon Poh akan ditahan dan direman esok. Bagaimanapun kita akan cuba meminta supaya beliau dapat dibebaskan malam ini,” katanya.