Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, individu berkenaan, Mohamad Amin Baco, 32, dikehendaki bagi membantu siasatan kes-kes jenayah yang berlaku di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dan elemen militan.

Turut berada dalam senarai terbabit, bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr. Mahmud Ahmad @ Abu Hanadzlah juga diburu meskipun dilaporkan telah mati ditembak pasukan keselamatan Filipina dalam pertempuran di bandar Marawi, Mindanao, tahun lalu.

“Seramai 16 individu yang sebahagian besarnya warganegara Filipina amat dikehendaki pihak Esscom bagi membantu siasatan terutamanya melibatkan jenayah di Esszone dan elemen militan.

“Sejak Jun 2016, setiap enam bulan pihak Esscom akan mengemas kini senarai individu dikehendaki. Justeru, direkodkan se­­takat Januari lalu, enam nama baharu dimasukkan menjadikan jumlah terkini 16 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Situasi Keselamatan dan Pengoperasian Esscom di Esszone dalam Majlis Santai bersama Media di Sandakan di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Staf Pusat Operasi Esscom, Datuk Md. Rahim Mohamad; Ketua Staf Operasi Laut Esscom, Laksamana Kamaruszaman Abu Hassan; Ketua Staf Operasi Udara Esscom, Datuk Abdul Razak Ahmad dan Ketua Staf Pasukan Khas Esscom, Senior Asisten Komisioner Mohamad Madun.

Tambah Hazani, pihak Esscom turut mengenal pasti tiga kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) iaitu Kumpulan Mubin Kahumbo, Kumpulan Datu Omad dan Las Panget serta Kumpulan Simunul.

Katanya, ketiga-tiga kumpulan tersebut berpangkalan di tiga pulau selatan Filipina dan dipercayai merancang melakukan jenayah penculikan dan rompakan di Ess­zone.

“Hasil siasatan mendapati bermula pada 2016, kumpulan KFR mula menyasarkan golongan nelayan dan kapal tunda berbanding pusat peranginan di pulau-pulau dan sangkar ikan.

“Sehubungan itu, bagi menangani jenayah rentas sempadan di Esszone, pihak Esscom proaktif menjalinkan kerjasama antara pihak Filipina dan Indonesia,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hazani berkata, Esscom kini dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai bagi mewujudkan pos kawalan baharu di pulau dalam kawasan Esszone.