Penahanan itu dimaklumkan Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad selepas pihaknya mengesan pergerakan bot yang dinaiki keenam-enam individu terbabit dalam keadaan mencurigakan ketika mengadakan rondaan di kawasan perairan berkenaan.

Bot terbabit katanya dalam perjalanan dari Pelabuhan Panipahan, Indonesia menuju ke Pelabuhan Klang, di sini manakala hasil pemeriksaan yang dilakukan kira-kira pukul 1 tengah hari ini mendapati, terdapat pelbagai muatan barang basah seperti ikan, udang, ketam dan kerang di atas bot yang dinaiki mereka.

“Bagaimanapun, mereka gagal mempamerkan sijil keanggotaan selamat semasa pemeriksaan dilakukan. Keenam-enam individu yang ditahan berusia 25 hingga 55 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Abu Zaki, kesemua mereka ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor untuk siasatan lanjut.

Namun, pihaknya tidak menolak kemungkinan barangan basah tersebut untuk dijual di pasaran negara ini.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya di Selangor selain meminta orang ramai menyalurkan maklumat di talian kecemasan 999 atau melaporkan ke Pusat Operasi Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah di laut. - UTUSAN ONLINE