Dalam kejadian pada pukul kira-kira 8 malam itu, mangsa yang berusia 16 tahun mendakwa baru pulang daripada mencari pekerjaan apabila dia bersetuju mengikuti dua rakannya ke belakang sebuah kedai runcit di kawasan perindustrian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, selepas tiba di lokasi, remaja perempuan itu bertemu dengan empat lagi suspek yang juga merupakan kenalannya.

“Mangsa kemudiannya diberikan minuman keras dan didakwa berada dalam keadaan separa sedar serta pening selepas mengambil minuman tersebut.

“Selepas kira-kira 3 jam tidak sedarkan diri, mangsa kemudian tersedar dan berasa sakit pada bahagian kemaluan serta mendapati zip baju dalam dan butang seluar yang dipakai terbuka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd. Haris, mangsa membuat laporan polis kelmarin pada kira-kira pukul 2 petang dalam keadaan trauma.

Tambahnya, hasil maklumat mangsa, kesemua suspek berjaya diberkas di sekitar daerah ini pada hari yang sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE