Suspek lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan empat warga asing dari Singapura, Filipina, Bangladesh dan sebuah negara di Asia Selatan berusia antara 21 dan 48 tahun itu ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman menerusi serbuan di sekitar Selangor, Johor dan Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki Singapura berusia 48 tahun di Johor Bharu, Johor pada 19 Disember tahun lalu.

Menurutnya, suspek merupakan rakan perniagaan seorang lagi suspek yang aktif berhubung dengan Akel Zainal iaitu rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di Syria dan telah membantu menyalurkan dana pada individu tersebut.

“Suspek juga menerima arahan daripada Akel Zainal untuk merekrut beberapa individu bagi melancarkan serangan ke atas bangunan Freemason di Johor Bahru.

“Tangkapan suspek ini adalah hasil kerjasama antara Department Keselamatan Khas dan Internal (ISD) Singapura dan suspek telah diserahkan kepada pihak berkenaan pada 7 Januari lalu selepas selesai disoal siasat oleh Cawangan Khas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Fuzi memaklumkan, tangkapan kedua pada tarikh sama di Klang, Selangor membabitkan seorang lelaki Bangladesh yang dipercayai menyokong kumpulan Daesh dan aktif menjalankan kegiatan merekrut individu di Malaysia untuk menyertai kumpulan pengganas.

“Kita kemudian menahan dua lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai pekerja ladang di sebuah negara luar dalam operasi di Sepang, Selangor pada 10 Januari lalu. Kedua-dua suspek telah ditahan di negara tersebut kerana didapati memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh.

“Seorang daripada suspek juga telah menyalurkan dana kepada Khairul Amizan Azmi iaitu rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di Syria,” ujarnya.

Ujar Mohamad Fuzi, tangkapan seterusnya membabitkan seorang buruh binaan warga Filipina yang merupakan anggota Kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) dan telah menyusup masuk ke negara ini sejak Mac tahun lalu secara tidak sah.

“Suspek mempunyai kemahiran mengendalikan pelbagai jenis senjata api dan mempunyai kaitan dengan pemimpin ASG di Selatan Filipina, Furuji Indama.

“Tangkapan terakhir melibatkan seorang lelaki berasal dari sebuah negara di Asia Selatan. Suspek berusia 26 tahun yang bekerja sebagai tukang rumah itu telah memberi perlindungan kepada seorang individu dari sebuah negara Asia Selatan yang disenaraikan dalam Red Notice Interpol kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah serta keganasan,” jelasnya.

Tambah beliau, kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).-UTUSAN ONLINE