Difahamkan, keenam-enam suspek berkenaan dipercayai sudah lama melakukan kegiatan tersebut namun yang terbaharu dua mangsa terbabit diminta membayar sejumlah wang yang kesemuanya bernilai RM2,500 sebagai upah perlindungan terhadap aktiviti dijalankan mangsa.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal berkata, pe­nangkapan pegawai dan anggota­nya itu dilakukan malam tadi dan awal pagi ini selepas pihaknya menerima dua laporan daripada kedua-dua mangsa di Batu Kawa dan Sematan.

“Polis telah menerima dua laporan daripada orang awam iaitu laporan pertama pada Khamis lalu, diikuti laporan kedua semalam yang mendakwa sekumpulan lelaki telah meme­ras ugut sejumlah wang daripada mereka.

“Kita kemudian bertindak menahan seorang pegawai berpangkat Inspektor berusia 53 tahun yang bertugas di Jabatan Pe­ngurusan, Cawangan Pelesenan, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan lima anggota pangkat rendah berusia 25 hingga 32 tahun daripada cawangan berbeza di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, kesemua suspek kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.