Timbalan Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, seorang tekong dan tiga nelayan asing Vietnam ditahan kira-kira 89 kilometer dari Kuala Tok Bali, dekat sini, pada pukul 5.42 petang.

Menurutnya, Kapal Maritim Jujur yang diketuai Leftenan Komander Maritim Mohd. Fazrul Niza Mustapa yang jalankan Ops Marikh mendapati bot yang mengunakan nombor pendataran nelayan Pahang iaitu PAF 4945 dalam keadaan yang mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati keempat-empat nelayan yang berusia 22 hingga 36 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri termasuk gagal menunjukkan surat kebenaran menangkap ikan secara sah.

"Mereka juga gagal menunjukkan lesen bot dan lain-lain dokumen utama yang membolehkan mereka memukat di perairan negara," katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan, di Tok Bali, dekat sini, hari ini.

Ismail berkata, nelayan terbabit sengaja menggunakan bot klon tempatan untuk mengabui dan meloloskan diri dari pemeriksaan pihak penguatkuasaan maritim.

Menurutnya, bot berkenaan ditunda masuk ke jeti Operasi Maritim Malaysia di Tok Bali, pagi ini untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot dan awak-awak nelayan asing itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan laut Malaysia tanpa kebenaran yang sah oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Mereka juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 yang kini ditahan reman mulai hari ini untuk siasatan yang lebih teliti," katanya.

Ismail berkata, jumlah keseluruhan ikan yang diperoleh dianggarkan sebanyak 4,000 kilogram dan 2,000 liter minyak diesel turut disita.

"Jumlah keseluruhan rampasan adalah dianggarkan bernilai RM500, 000,"katanya. - UTUSAN ONLINE