Kam Wan Hung, 54, Tan Siant Yiang, 34, Pang Bak Long, 47, dan Wong Kok Chong, 42, yang merupakan ahli perniagaan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim-hakim Rozina Ayub, Azman Ahmad dan Azura Alwi.

Siant Yiang didakwa atas dua pertuduhan, sementara itu, Bak Long pula berhadapan dengan tiga pertuduhan manakala Wan Hung dan Kok Chong pula masing-ma­sing didakwa atas satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Siant Yiang didakwa memberi suapan masing-masing sebanyak RM8,000 dan RM9,000 kepada individu bernama Shafik bagi pihak Timbalan Penolong Pe­ngarah Imig­resen Putrajaya, Mohammed Yuzaiman Ahmad, 47, supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja asing di 22 buah premis rumah urut di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu, Wan Hung, Bak Long dan Kok Chong pula masing-masing didakwa memberi suapan bernilai RM9,000, RM6,000 serta RM2,000 bagi tujuan yang sama.

Perbuatan tersebut didakwa di sekitar ibu kota termasuk di Restoran Pappa Rich di Taman Desa dan Restoran Starbucks, di sini antara 31 Oktober 2018 dan 7 Januari lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amira Sariaty Zainal, Nor Diana Najwa Nor Azwa dan Ashraf Tahir manakala tertuduh diwakili peguam-peguam Edwin Johnson Navis, Tan Cheng Yee dan Mohd. Faizi Che Abu.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM10,000 dan RM20,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM cawangan Kuala Lumpur sekali sebulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai selain sebutan kes ditetapkan 18 dan 24 April ini.