Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dalam serbuan pertama, pihak polis menyerbu sebuah rumah di Taman Grenview, Pasir Panjang di sini pada pukul 1 pagi.

“Pemeriksaan di dalam bilik di rumah tersebut menjumpai satu paket plastik lutsinar di dalamnya berisi bahan ketulan kelabu disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 15.1 gram.

“Seorang lelaki berusia 34 tahun yang berada di dalam rumah itu telah diberkas dan ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis MOP.

“Suspek yang bekerja sebagai buruh memiliki 14 rekod lampau berkaitan dadah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, polis kemudian telah menyerbu sebuah premis di Batu 1/2, Jalan Pantai di sini dan memeriksa tingkat empat bangunan tersebut pada pukul 7 pagi.

“Polis memeriksa tiga lelaki iaitu seorang penganggur warga Indonesia dan dua warga Thailand yang bekerja sebagai tukang masak, namun tidak menemukan apa-apa barang yang menyalahi peraturan.

“Bagaimanapun pemeriksaan di sebuah bilik telah menjumpai sebuah beg warna hitam jenama ‘Reel Legends’ di dalamnya mengandungi 17 paket plastik lutsinar kecil berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.68 gram,” ujarnya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 24 hingga 32 tahun didapati positif dadah jenis methampethamine dan ditahan di bawah Seksyen 39A (1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. - UTUSAN ONLINE