Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden S. Somu berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan mangsa yang disamun oleh tiga lelaki dengan menyamar sebagai anggota polis.

“Kejadian berlaku pukul 2 pagi ketika mangsa berada di hadapan pusat snuker di Jalan Pekan Subang, Shah Alam yang didatangi tiga lelaki sambil memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Kesemua suspek kemudian telah berpura-pura melakukan pemeriksaan dan telah merampas dompet mangsa yang mengandungi wang syarikat berjumlah RM1,200 sebelum beredar,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, dekat sini hari ini.

Menurut Somu, hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sungai Buloh telah membuat serbuan di Apartmen Idaman, Petaling Jaya dekat sini pada 1 Ogos lalu.

Jelasnya, dalam serbuan itu pihaknya menahan empat suspek berusia lingkungan 23 hingga 31 tahun dan merampas empat telefon bimbit, masing-masing sebuah komputer riba dan alat perakam PVR.

“Seorang daripada suspek juga telah membawa polis ke kawasan letak kereta yang menemukan banyak barangan digunakan untuk menyamar.

“Barangan yang ditemukan ialah topi berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelekat kereta berlogo PDRM, cota, dua jaket hitam, dua pasang kasut operasi, topeng muka warna hitam, lima keping mata wang asing dan sekeping salinan pasport warganegara Nepal,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata. - UTUSAN ONLINE