Dalam operasi kira-kira pukul 10.30 malam itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Strike Team Balai Polis Daerah Tawau menangkap kesemua suspek tersebut yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 60-an di kawasan hotel tersebut.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, dalam pemeriksaan yang dilakukan ke atas suspek pertama berusia 61 tahun, polis menemukan sekeping kad kunci bilik hotel berkenaan.

“Semasa pemeriksaan lanjut di bilik hotel itu, polis telah menemukan dan merampas sebuah beg plastik hitam di dalam sebuah almari dan di dalamnya terdapat empat bungkusan plastik teh Cina jenama Guangyinwang.

“Keempat-empat bungkusan teh Cina itu berisi satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan hablur disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua buah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser dan Toyota Hilux, dipercayai digunakan untuk pengedaran dadah.

Menurutnya, sebuah kenderaan jenis Perodua MyVi milik salah seorang suspek turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthak Harta) 1988.

Beliau memberitahu, kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati. - UTUSAN ONLINE