Jurucakap cawangan Risikan/Operasi (D4) Ibu pejabat Polis (IPD) Subang Jaya berkata, tangkapan tersebut dibuat berdasarkan laporan seorang pengadu lelaki yang mendapati tiga unit kanopi berserta 30 buah meja dan 250 kerusi miliknya hilang.

Menurutnya, semua peralatan tersebut ditempah oleh seorang lelaki dan dipasang di Jalan BP 7/1 Bandar Bukit Puchong pada 23 Februari lalu, namun apabila mahu mengambilnya semula pada 25 Februari, peralatan tersebut telah dicuri.

“Bertindak atas maklumat terbabit, Inspektor Judip Barandy dan sepasukan anggota polis D4 menjalankan tangkapan kepada suspek pertama yang berusia 32 tahun pada 7 Mac lalu.

“Hasil daripada tangkapan tersebut, telah membawa kepada tangkapan tiga lagi suspek yang turut terlibat dalam kes sama iaitu dua ditangkap pada 8 Mac manakala satu lagi pada 9 Mac di sekitar Bandar Bukit Puchong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, turut dirampas adalah 250 buah kerusi plastik warna putih, 20 buah meja kayu segi empat, 20 buah kaki meja besi boleh lipat, tiga helai kanvas berwarna kelabu dan putih, 12 batang besi berbentuk segi empat, 12 batang besi paip dan tiga batang paip pendek.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 35 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.- UTUSAN ONLINE