Kegiatan itu terbongkar setelah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyerbu rumah tersebut dan menahan lapan orang termasuk empat beradik dan seorang wanita berstatus janda, kira-kira pukul 1 pagi ini.

Ketua AADK Daerah, Mohamad Nasir Md. Radzi berkata, bagaimanapun seorang lelaki berusia 40-an, dipercayai bapa kepada keluarga itu yang turut disyaki penagih dadah sempat melarikan diri.

Menurutnya, maklumat dite­rima pihaknya menyatakan hampir kesemua ahli keluarga yang tinggal di rumah itu merupakan penagih dadah dan menjadikan kediaman tersebut sebagai sarang untuk melepaskan gian.

“Empat beradik itu berusia 18, 21, 23 dan 28 tahun. Wanita berstatus janda tersebut berusia 21 tahun dan turut berada di dalam rumah berkenaan adalah anak lelakinya yang berumur tiga tahun,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Menurutnya, keempat-empat mereka didapati positif dadah jenis opiat dan methamphetamine dengan masing-masing dipercayai mula menagih dadah antara dua hingga tiga tahun lalu.

Tambahnya, ibu mereka dipercayai telah meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu dan difahamkan serbuan tersebut dijalankan hasil maklumat orang ramai eko­ran terlalu banyak berlaku kes kecurian di kawasan itu.

Katanya, kesemua individu positif dadah berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 3 (1)Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan ditahan di Pusat Tahanan Reman (PTR) AADK sementara siasatan dijalankan.