Ketua AADK Daerah, Mohamad Nasir Md. Radzi berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu, ayah mereka berusia 40-an yang turut disyaki penagih dadah, bagaimanapun sempat melarikan diri.

“Maklumat diterima menyatakan hampir kesemua ahli keluarga yang tinggal di rumah itu merupakan penagih dadah dan mereka menjadikan rumah tersebut dijadikan sebagai sarang untuk melepaskan gian.

“Empat beradik itu berusia 18, 21, 23 dan 28 tahun. Wanita berstatus janda tersebut berusia 21 tahun dan turut berada dalam rumah berkenaan adalah anak lelakinya yang baru berumur tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keempat-empat mereka didapati positif dadah jenis opiat dan methamphetamine dengan masing-masing dipercayai mula menagih dadah antara dua hingga tahun lalu.

Ibu mereka dipercayai telah meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu dan difahamkan serbuan berkenaan dijalankan hasil maklumat orang ramai ekoran terlalu banyak berlaku kes kecurian di kawasan tersebut.

Tambahnya kesemua individu positif dadah berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 3 (1)Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan mereka ditahan di Pusat Tahanan Reman (PTR) AADK sementara siasatan dijalankan. - UTUSAN ONLINE