Itulah taktik digunakan satu sindiket pengedar dadah yang bertindak menghancurkan pil eks­tasi menjadi serbuk dan dicampurkan dengan serbuk minuman sebelum dijual pada harga RM200 sehingga RM250 sepeket.

Namun begitu, cubaan mengedarkan dadah tersebut ke sekitar pusat-pusat hiburan di bandar raya ini tumpas apabila polis menahan lima individu di Taman Maluri, Cheras di sini Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Guan Beng Kang berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu, pihaknya mula menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di Jalan Wira, Cheras.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya telah menemukan dua peket lut sinar dipercayai dadah jenis syabu seberat 16.58 gram.

“Hasil soal siasat, polis bertindak menyerbu sebuah apartment di kawasan berhampiran dan menahan empat lagi individu terdiri sepasang suami isteri dan dua wanita berusia antara 27 sehingga 43 tahun.

“Hasil serbuan itu juga, kita berjaya menemukan 187 biji pil ekstasi, 41 kapsul mengandungi serbuk ekstasi dan pelbagai jenis dadah bernilai RM97,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambah Beng Kang, selain rampasan dadah, pihaknya turut menemukan sepucuk pistol angin dan tiga bilah pedang samurai.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih kita jalankan bagi menge­tahui sama ada sindiket ini turut terlibat dalam jenayah lain dan kongsi gelap.

“Kesemua suspek kini direman dan di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960,” ujarnya.