Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya juga menahan seramai 302 majikan dengan kira-kira 100 daripada mereka telah diheret ke mahkamah untuk tindakan undang-undang.

Menurut beliau, masih ramai PATI dan majikan gagal mematuhi peraturan ditetapkan kerana sasaran pendaftaran antara 400,000 hingga 600,000 PATI menerusi program E-Kad yang berakhir 30 Jun lalu tidak dapat dicapai.

Ujarnya, sehingga kini, Jabatan Imigresen hanya berjaya merekodkan kira-kira 104,000 pendaftaran E-Kad manakala seramai 1.86 juta warga asing mendaftar untuk memiliki permit tahun lepas dan 1.72 juta membuat permohonan sama tahun ini.

“Kira-kira 38,800 PATI sejak awal tahun ini hingga Selasa lalu te­lah diusir dan kita sama sekali tidak berkompromi dengan majikan yang degil selain akan mengheret mereka ke mahkamah dan membekukan aset serta akaun bank.

“Kalau rasa pekerja layak didaftarkan, mereka perlu me­lakukannya sehingga hujung tahun ini, mana-mana PATI yang datang secara sukarela akan dikenakan kompaun RM400 tetapi jika ditangkap, amaun lebih tinggi akan dikenakan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bagi membincangkan isu kemudahan dan infrastruktur seperti diajukan kerajaan negeri baru-baru ini.

Mengenai mesyuarat yang diadakan, Mustafar memberitahu, pihaknya akan memastikan lebih sembilan daripada 12 kaunter di LTAPP beroperasi dalam satu-satu masa bagi melancarkan urusan kira-kira tujuh juta penumpang dari dalam dan luar negara yang masuk ke negeri ini sehingga hujung tahun.

Ditanya berhubung penganjuran parti muzik gay, White Party BKK Warm Up yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 30 September ini, beliau berkata, pihaknya akan mengetatkan kawalan di semua 137 pintu masuk di lapangan terbang negara.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sistem sedia ada boleh mengenal pasti peserta pesta tersebut dan kita akan terus mengusir mereka dari negara ini,” tegasnya.