Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Majistret Kamarul Hasyime Rosli selepas tertuduh, Rizwan Ullah, 26, dan Tariq Zaman, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahas. 


Kamarul Hasyime memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.


Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dikenakan terhadap mereka.


Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Norbayani Shamsuddin memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.


Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama memiliki 1,900 batang rokok jenama Saat bernilai RM152 yang dilarang pengimportannya di sebuah kedai runcit, Jalan Pasir Mas-Salor di sini pada pukul 4.15 petang, 4 Januari lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota penguatkuasa Kastam Rantau Panjang melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit dan menemui rokok.


Pemeriksaan lanjut, tertuduh tidak mempunyai dokumen yang membuktikan rokok yang dirampas diimport secara sah. - UTUSAN ONLINE