SITI AISYAH
SITI AISYAH

Itu merupakan antara intipati penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azmi Ariffin setebal 82 muka surat dan dibaca dalam tempoh hampir tiga jam sebelum memutuskan untuk memanggil kedua-dua tertuduh yang berasal dari Indonesia dan Vietnam itu untuk membela diri atas pertuduhan membu­nuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari 2017.

Kedua-dua tertuduh dilihat menangis sebaik sahaja jurubahasa negara masing-masing memaklumkan keputusan mahkamah kepada mereka. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Selepas dijelaskan oleh peguam bela masing-masing, Siti Aisyah, 26, dan Thi Huong, 29, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. Pilihan tersebut membolehkan pihak pendakwaan menyoal balas mereka.

Terdahulu, Hakim Azmi me­nyatakan walaupun imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kejadian bunuh tersebut agak kabur dan tidak jelas namun selepas penelitian, beliau yakin bahawa imej wanita yang dipaparkan dalam rakaman tersebut ialah kedua-dua tertuduh.

Tindak-tanduk mereka yang dilihat hampir serupa, menye­rang mangsa pada waktu hampir sama dan perlakuan mereka yang tergesa-gesa ke tandas untuk membasuh tangan bukanlah satu kebetulan malah niat untuk membunuh juga boleh dilihat secara inferens apabila sera­ngan dibuat tepat ke bahagian mata yang merupakan bahagian pa­ling strategik untuk menga­kibatkan kema­tian.

Kedua-dua tertuduh juga boleh dikatakan mempunyai niat bersama-sama Mr. Chang atau nama sebenarnya Hong Song Hac, Mr. Y (Ri Ji Hyon), Hanamori (Ri Jae Nam) dan James atau O Jong Gil yang dapat dilihat me­lalui kehadiran keempat-empat lelaki Korea Utara itu di KLIA2.

“Dapat disimpulkan bahawa keempat-empat lelaki tersebut memainkan peranan penting dan bukan sekadar orang awam di tempat kejadian malah mereka juga sebahagian daripada rantaian kejadian walaupun tidak mengangkat satu jari pun untuk berbuat apa-apa terhadap Jong-nam.

“Walaupun kesemua lelaki terbabit dan kedua-dua tertuduh tidak dilihat bersama namun tindakan menukar pakaian, membasuh tangan dan meninggalkan tempat kejadian secepat mungkin menunjukkan kesemua mereka mempunyai fikiran yang sama,” kata Hakim Azmi.

Berhubung niat atau motif, Hakim Azmi menyatakan walaupun penting namun perkara tersebut bukanlah suatu elemen yang wajib dibuktikan.

DOAN THI HUONG
DOAN THI HUONG

“Tiada siapa yang sebenarnya tahu apa ada dalam fikiran tertuduh yang menyebabkan timbul idea jahat untuk melakukan perbuatan tersebut. Walaupun tiada sebarang bukti yang boleh menunjukkan niat atau motif pembunuhan tersebut namun ketiadaannya menjejaskan kes pihak pendakwaan walaupun boleh membantu sekiranya ada. Pada masa sama, mahkamah juga tidak boleh menolak kemungkinan bahawa pembunuhan Jong-nam adalah bermotifkan politik,” ujarnya.

Dalam penghakimannya, hakim tersebut turut menyatakan hujah pihak pendakwaan yang menyatakan kejadian bunuh sebenarnya insiden untuk me­ngenakan seseorang (prank) tidak boleh diterima dan tidak mempunyai sebarang merit.

“Berdasarkan penelitian dan kajian saya sendiri, untuk me­lakukan sesuatu prank, kru rakaman masih lagi diperlukan dan perbuatan itu juga merupakan sesuatu yang kelakar. Selepas kejadian prank juga, mangsa akan ditunjukkan kamera tersembunyi dan semua akan ketawa namun dalam kes ini, kedua-dua tertuduh tergesa-gesa meninggalkan lokasi kejadian untuk membasuh tangan.

“Tindakan kedua-dua tertuduh memilih untuk membasuh tangan di aras dua dan bukannya di aras yang sama dengan kejadian bunuh juga menimbulkan persoalan. Kenapa tidak basuh tangan sahaja di tandas di Balai Berlepas itu? Satu perkara yang dapat saya simpulkan ialah kedua-duanya hendak mengelak daripada dikenal pasti oleh mangsa yang boleh mengakibatkan mereka tertangkap lebih awal,” kata Hakim Azmi.

Sementara itu, peguam bela Siti Aisyah, Gooi Soon Seng memberitahu, pihaknya akan memanggil lebih daripada 10 saksi pembelaan manakala peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Thi Huong mengatakan akan memanggil antara tujuh hingga lapan saksi yang kesemuanya dari Vietnam.

Perbicaraan di peringkat bela diri akan bermula pada 1 November ini.