Straits Times melaporkan, ke­jadian itu berlaku kira-kira pukul 8.30 malam di tepi jalan di belakang pusat beli-belah Pavillion yang menjadi tempat meletak bas pelancong.

Kawasan tersebut juga me­nempatkan beberapa premis per­niagaan lain yang sering menjadi tumpuan pelancong ter­utamanya dari Singapura.

Menurut polis, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Gakhrejr Dheeraj, 42, dari India dan Keovongsa Thonekeo, 28, dari Laos. Kedua-duanya me­ninggal dunia di hospital.

Seorang lagi pelancong India, Sharma Dharmendra, 45, dan juga dua warga Thailand iaitu Thaksin Suk-iad, 22, dan Pornthep Pumpuang, 23, mengalami kecederaan.

Jurucakap polis, Senit Samararn Samruajkit berkata, tiga pemuda bersenjatakan raifel melepaskan tembakan ke arah satu lagi kumpulan susulan satu pergaduhan di sebuah pusat snuker sebelum itu.

“Berdasarkan maklumat beberapa saksi, kira-kira 20 lelaki bersenjatakan raifel, pisau dan kayu melarikan diri dari pusat snuker tersebut sebelum melepaskan tembakan.

“Polis kini menyiasat jenis raifel yang digunakan oleh kumpulan pemuda tersebut apabila menemukan kelongsong peluru senjata AK-47 di lokasi kejadian,” katanya.