Kejadian pada pukul 7 petang semalam disedari bapa kanak-kanak berusia lapan tahun itu selepas melihat video pende­raan tersebut tular dalam laman media sosial.

Difahamkan, kanak-kanak itu dipukul kerana sering mela­kukan kesalahan iaitu kencing berdiri, mencuri barang dan tidak mencuci selepas buang air besar.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, susulan kejadian itu, tenaga pengajar pusat tahfiz itu menghubungi bapa mangsa serta menjelaskan kejadian sebenar bertujuan sebagai proses pembelajaran dan bukan niat mendera.

“Siasatan awal mendapati, mangsa merupakan anak tunggal sebelum bapanya berusia 25 tahun yang merupakan seorang peniaga pasar malam bercerai dengan ibu kandungnya.

“Sebelum ini mangsa di hantar ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rangin di sini namun berpindah ke pusat tahfiz itu kerana tidak berminat untuk belajar di sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohamad Noor, sepanjang menghantar mangsa di pusat jagaan itu, bapanya mendakwa berpuas hati dengan proses pembelajaran yang diberikan tenaga pengajar kerana kanak-kanak itu semakin sihat dan pandai solat serta mengaji.

“Mangsa dihantar ke Hospi­tal Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan di punggung.

“Susulan itu, polis merampas sebatang rotan berukuran 58 sentimeter dan satu gunting rumput berhulu hijau dipercayai digunakan untuk men­dera mangsa,” katanya.

Mohamad Noor berkata, pasangan suami isteri berusia 42 dan 43 tahun yang juga tenaga pengajar di pusat tahfiz tersebut ditahan pukul 10 malam semalam.

“Suspek ditahan reman selama dua minggu di lokap Balai Polis Kuantan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Menurutnya, beliau sendiri meninjau lokasi kejadian dan mengesahkan kes terbabit ber­unsurkan penderaan terhadap mangsa.