Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kedua-dua suspek itu yang telah ditahan di Nilai dan Rantau pada pukul 11 pagi semalam, direman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

Beliau berkata, suspek terdiri daripada seorang pemandu lori dan pekerja kilang dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Polis telah menahan tiga lelaki berusia 36 hingga 50 tahun di Rantau dan daerah ini antara pukul 12 tengah hari hingga 4 petang, kelmarin.

“Ketiga-tiga mereka yang juga penjual kenderaan, pemandu lori dan peniaga ayam direman selama tiga hari sehingga esok,” katanya di sini hari ini.

Pada hari pengundian PRK DUN Rantau 13 April lalu, lima lelaki dipercayai penyokong PH bertindak memeriksa sebuah MPV polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, Rembau.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6 petang semasa dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN Rantau.

Lima lelaki terbabit telah meminta anggota polis berkenaan membuka but MPV polis tersebut kerana mengesyaki kenderaan itu membawa kertas lebihan undi, namun mereka akhirnya tidak menemukan kertas undi yang didakwa. - UTUSAN ONLINE