Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kedua-dua suspek ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.

Katanya, kedua-dua suspek yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah manakala proses bedah siasat mayat mangsa sedang dijalankan oleh pihak hospital.

"Selepas suspek menunjukkan lokasi pembuangan mayat, kita telah pergi semula ke rumah mereka dan menjumpai senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa.

"Setakat ini, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek telah memasuki negara ini lebih dari enam bulan. Mereka juga akan disiasat di bawah Akta Imigresen kerana berada di negara ini tanpa dokumen yang sah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, mayat seorang warganegara Bangladesh dikenali sebagai Abdul Razzak ditemukan mati dibunuh rakan senegaranya akibat dipukul dengan penukul sebelum dikerat beberapa bahagian dan dibuang ke dalam longkang di Persiaran Kuala Langat, Seksyen 27, di sini.

Kedua-dua suspek menunjukkan lokasi mayat dibuang selepas majikan mangsa membuat laporan polis semalam di Balai Polis Taman Megah bagi memaklumkan pekerjanya yang hilang sejak Khamis lalu dan membawa mereka untuk tindakan selanjutnya.

Hasil soal siasat, mendapati mangsa telah dibunuh Khamis lalu dan dicampak ke dalam longkang berhampiran Masjid Baitul Mahabbah, Seksyen 27 di sini. - UTUSAN ONLINE