Dalam nahas pukul 12.30 tengah malam berhampiran Kampung Jasa Sepakat, pekan Nanas itu, ke­dua-dua mangsa gagal menyelamatkan diri selepas kereta Toyota Wish dinaiki mereka terbakar.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Wish yang datang dari arah daerah ini menuju ke pekan Nanas hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Zakaria Abdul Rahman berkata, Toyota Wish itu kemudian merempuh sebuah kereta Toyota Corona yang datang dari arah bertentangan.

“Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kereta terbakar. Bagaimanapun pemandu dan penumpang hadapan Toyota Corona, Ho Ei Fong, 20, dan rakannya, Lee Zhong Jin, 21, sempat keluar dan hanya mengalami luka di bahagian kaki dan tangan serta ce­dera di dada.

“Kedua-dua mangsa yang rentung itu dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, identiti kedua-dua mangsa rentung itu masih tidak dapat dikenal pasti kerana dokumen pengenalan diri masing-masing musnah dalam kebakaran berkenaan.

“Semakan nombor pendaftaran kereta yang rentung itu sudah dilakukan. Bagaimanapun tiada sebarang maklumat yang diperoleh menerusi nombor pendaftaran kereta tersebut.

“Kemungkinan kereta yang rentung itu adalah kereta klon berdasarkan pada nombor enjin dan casis kereta yang tidak sama,” ujarnya.