Dalam kejadian pertama di Kemaman, seorang remaja lelaki lemas di dalam kolam terbiar di Kampung Batu 3 Bandar Cukai di sini, pagi tadi.

 Kejadian berlaku semasa Muhammad Solahuddin Anuar,14 , mandi bersama tiga lagi rakannya.

Mayatnya ditemukan di dasar kolam pada kedalaman dua meter pukul 10.49 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Cukai.
Ketua Zon II Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Azmi Abdul Rahim memberitahu pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian tersebut pukul 9.19 pagi.

 Sementara itu  dalam kes berasingan, kegembiraan sekumpulan  remaja  berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka lemas setelah terjun ke dalam kolam di Air terjun Cemerung, Dungun.

 Mayat Muhammad Fakhrul Ieqbal Mat Yi, 16, ditemukan kira-kira pukul 5 petang tadi oleh penduduk kampung yang membantu mencari mangsa.
 Mangsa yang berasal dari Felda Kerteh 4 , Bandar Ketengah Jaya bersama 30 orang lagi rakannya dikatakan pergi ke kawasan tersebut untuk menghabiskan cuti hujung minggu.

Rakan mangsa, Muhammad Izzat Mohd Asri, 17, ketika ditemui memberitahu, mereka berkonvoi ke kawasan air terjun tersebut  kira-kira pukul 2.30 petang   dengan motosikal.

Katanya, ketika mandi  bersama  beberapa lagi rakan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ketengah Jaya itu terjun, dan selepas itu tidak timbul.

 Ketua Polis Daerah Dungun, Supeitenden Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat. - UTUSAN ONLINE