Wisma Putra dalam satu ke­nyataan memberitahu, hingga pukul 3 petang waktu Malaysia, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam insiden berkenaan.

“Walau bagaimanapun, dua rakyat Malaysia cedera dalam insiden itu dan dirawat di hospital,” jelas kenyataan itu.

Pada pukul 1.40 petang waktu tempatan hari ini, jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood di Christchurch telah menjadi sasaran pengganas yang melepaskan tembakan rambang. Setakat ini lebih 40 nyawa terkorban manakala 20 lagi cedera.

Wisma Putra menambah, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan itu dan berharap mereka yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington telah berhubung dengan rakyat Malaysia di Christchurch dan sedang memantau situasi ber­kenaan secara teliti.

Tambahnya, talian hotline telah disediakan oleh pihak pesuruhjaya tinggi untuk menjawab sebarang pertanyaan berhubung situasi semasa.

“Ingatan dan doa kami adalah kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam insiden ini,” jelas kenyataan itu.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington terletak di 10, Washington Avenue, Brooklyn, Peti Surat 9422, Wellington 6021, New Zealand.

Orang ramai boleh meng­hubungi nombor telefon 00-64-210440188, 00-64-4385 2439, 00-64-4801 5659 atau e-mel ke [email protected] dan [email protected]