Itu pengalaman dilalui seorang pemandu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton selepas kenderaannya dilanggar motosikal ditunggangi dua remaja dan maut di Kilometer 430.8 Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan berhampiran laluan susur masuk ke Bukit Beruntung dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, mangsa, Alif Musaqim Aizuddin dan Muhammad Zahin Abdullah, masing-masing berumur 16 tahun maut selepas motosikal ditunggangi mereka merempuh kenderaan itu yang berhenti di laluan kecemasan.

Pemandu Mitsubishi Triton tersebut, Muhammad Aiman Shafiq Mohd. Noor, 20, ketika itu menunggu di laluan tersebut dan terkejut berikutan mende­ngar dentuman kuat dari arah belakang kenderaannya.

“Saya berhenti di bahu jalan kerana mencari lokasi rakan yang turut terlibat dalam kemalangan di kawasan berdekatan.

“Sebelum kemalangan itu terdapat satu lagi kemalangan membabitkan tiga motosikal di kawasan tersebut dan saya datang untuk memberikan bantuan selepas mendapat panggilan daripada rakan,” katanya di sini.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, kemalangan berlaku semasa motosikal mangsa melalui laluan di lebuh raya itu dari arah Bukit Beruntung menuju ke Rawang.

“Sampai di tempat kejadian motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar kenderaan terbabit yang berhenti di laluan kecemasan lebuh raya tersebut.

“Dilaporkan mangsa dipercayai keluar bersama beberapa rakan lain yang menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Bandar Sungai Buaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Azman, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengkebumian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.