Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, kedua-dua suspek menaiki sebuah motosikal Yamaha LC bernombor pendaftaran palsu menyerbu masuk pasar raya tersebut dengan mengenakan topi keledar penuh sebelum melepaskan tembakan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S. Somu berkata, suspek membawa senjata api tersebut melepaskan sedas tembakan ke arah kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian luar pasar raya manakala sedas lagi mengenai siling dalam premis berkenaan.

"Ketika kejadian terdapat tiga pekerja pasar raya tersebut, seorang pengawal keselamatan dan seorang pelanggan di premis itu. Suspek kemudiannya melarikan dua laci berisi wang tunai RM4,000.

"Seorang pelanggan wanita yang berada di situ juga telah disamun ketika membuat pembayaran namun sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat," katanya, di sini hari ini.

Somu memberitahu, kedua-dua suspek itu kemudiannya bergegas melarikan diri sejurus selepas insiden terbabit.

Beliau bagaimanapun memaklumkan tiada mangsa yang tercedera dalam kejadian tersebut.

"Hasil siasatan polis telah menemukan dua kelongsong peluru bersama anak peluru di tempat kejadian dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan menerusi maklumat mangsa dan rakaman CCTV.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," ujarnya. - UTUSAN ONLINE