Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin ber­kata, kejadian berlaku selepas se­pasukan anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Seremban 2-Labu terserempak se­buah kereta Honda City dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 3.15 pagi.

Menurut beliau, anggota polis kemudian mengarahkan kereta tersebut berhenti namun peman­dunya bertindak memecut laju ken­deraan tersebut.

Beliau berkata, pihak polis me­n­gejar kenderaan terbabit sejauh kira-kira dua kilometer sebelum berjaya memintasnya di tepi jalan di Persiaran Ainsdale Selatan.

“Salah seorang suspek keluar dari kenderaan dan melepaskan empat das tembakan manakala rakannya meluru ke arah polis sambil melibas sebilah parang. Pasukan polis melepaskan lima das tembakan mengenai dada kedua-dua suspek yang berusia 30-an itu.

“Kejadian berbalas tembakan antara suspek dan sekumpulan anggota polis itu berlaku dalam tempoh kurang satu minit. Ke­dua-dua penjenayah maut di tempat kejadian manakala anggota polis terlibat tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Azam berkata, polis me­rampas sepucuk pistol jenis Revolver .38 warna hitam yang me­ngandungi empat kelongsong dan dua butir peluru hidup serta dua bilah parang sepanjang 0.3 meter.

Selain itu katanya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta suspek menemukan peralatan pecah rumah, lima keping nombor pendaftaran kenderaan dan 17 butir peluru hidup.

“Identiti kedua-dua suspek masih belum diketahui kerana tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri. Kende­raan digunakan suspek disamun di Klang, Selangor baru-baru ini dan turut menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Menurut beliau, mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.