Menurut sumber, kejadian berlaku selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman yang melakukan rondaan di Jalan Labu, Seremban terserempak dengan sebuah kereta Honda City dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 3.15 pagi.

Ujarnya, kereta tersebut memecut laju dan polis terpaksa mengejar kenderaan terbabit sejauh dua kilometer sehingga ke Persiaran Ainsdale Selatan.

“Seorang lelaki bertindak keluar dari kenderaan itu lalu melepaskan tembakan ke arah polis manakala seorang lagi lelaki melibas sebilah parang. Polis terpaksa terpaksa mempertahankan diri dan menembak mati kedua-dua suspek,” katanya di sini.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan turut digunakan dalam kegiatan jenayah di Klang, Selangor.

Bagaimanapun, katanya, polis tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri kedua-dua suspek.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan kejadian tersebut dan akan mengadakan sidang akhbar berhubung kes itu pada petang ini. - UTUSAN ONLINE