Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, kedua-dua suspek bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas cuba memecah masuk rumah di kawasan itu sebelum disedari oleh orang awam yang kemudiannya membuat panggilan polis.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, anggotanya yang bergegas ke tempat kejadian telah berjaya mengesan suspek tetapi dua daripada mereka yang bersenjatakan parang dan celoret telah menyerang anggota polis.


“Selepas memberi amaran tetapi diendahkan, anggota polis terbabit terpaksa melepaskan tembakan ke arah kedua-dua suspek dan mereka maut di tempat kejadian.


“Kedua-dua suspek berumur lingkungan 30-an dan kita tidak menemui sebarang pengenalan diri pada diri mereka,” katanya di sini hari ini.


Fadzil memberitahu, seorang lagi rakan jenayah suspek telah melarikan diri dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.


“Senjata celoret dan parang serta alat pecah rumah milik suspek turut dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE.