Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, suspek berusia 29 dan 34 tahun tersebut merupakan penjaga di pusat jagaan kanak-kanak berkenaan.

“Kami terima aduan kira-kira pukul 3.30 petang semalam daripada seorang wanita yang merupakan ibu saudara kanak-kanak terbabit.

“Dia mendakwa mangsa dirantai, tidak diberi makan di samping terdapat kesan luka, calar serta lebam di kaki, tangan dan kepala selain kesan bengkak pada bibir dan mata kanak-kanak malang tersebut dipercayai akibat ditumbuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Ali, suspek lelaki ditahan reman sehingga Jumaat, manakala suspek wanita dilepaskan dengan kebenaran mahkamah dengan alasan tiada sesiapa menjaga pusat jagaan kanak-kanak diurus mereka.

Tambahnya, mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan dan pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - UTUSAN ONLINE