Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kedua-dua lelaki diberkas pada Ahad lalu selepas polis menerima aduan berhubung kejadian yang berlaku pada pukul 9.45 malam itu.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka telah membuka gerai menjual mercun jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ berhampiran sebuah bank di sini.

“Semasa kejadian mereka membuat promosi dengan membenarkan kanak-kanak membakar mercun di hadapan gerai bagi menarik perhatian pembeli.

“Malangnya mercun tersebut meletup di atas bungkusan mercun jenis bateri sekali gus mencetuskan kebakaran. Kesemua mercun lain di gerai itu turut meletup dan kejadian berlaku selama kira-kira 15 minit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nur Hishamudin berkata, beberapa saksi mendakwa tiga individu mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu namun tiada laporan dibuat oleh mangsa.

Katanya, polis menerima laporan daripada lima pemilik kenderaan yang rosak selain laporan daripada pihak bank berhubung insiden itu.

“Polis telah merampas sebuah van yang digunakan bagi menjual mercun oleh kedua-dua lelaki itu dan menemukan sekotak mercun Pop-Pop di dalam kenderaan berkenaan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - UTUSAN ONLINE