Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, dalam serbuan awal pagi itu, kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan.

"Berdasarkan maklumat yang diterima dan hasil risikan, sekumpulan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menyerbu sebuah gerai menjual burger dan menahan dua individu berusia 27 tahun dan 30 tahun kira-kira pukul 12.45 pagi tadi.

"Turut ditemukan lapan botol plastik disyaki mengandungi dadah jenis heroin, empat plastik berwarna biru mengandungi 840 biji pil kuda dan satu paket plastik lutsinar mengandungi daun kering disyaki ganja.

"Selain itu, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM200, dan ini merupakan rampasan dadah terbesar di sini setakat ini pada tahun 2018," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini hari ini.

Menurut beliau,  berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek yang dikesan positif dadah itu dipercayai aktif dalam pengedaran dadah sejak dua hingga tiga bulan lalu di sekitar kawasan Ajil.

"Kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkait dadah. Mererka  ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujar beliau. - UTUSAN ONLINE