Tertuduh, K. Selva Rajah, 45, dan Jazlan Abdullah, 46, yang diwakili peguam K. Harikrishnan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan kepada mereka secara serentak di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang sebanyak RM13,500 kepunyaan Fatimah Shamsulaman, 55, yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank bernombor 3179903916 milik Sunner Group International Berhad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank Station 18 di sini pada 23 November 2015, kira-kira pukul 10.04 pagi.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang sebanyak RM14,000 milik Fatimah yang telah dimasukkan ke dalam akaun sama milik syarikat sama di Public Bank Jalan Pasir Puteh di sini pada 24 November 2015, kira-kira pukul 11.40 pagi.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dengan peruntukan hukuman penjara minimum enam bulan dan tidak melebihi lima tahun beserta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Siti Hafiza bagaimanapun membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sementara 9 November ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE