Malah dua lelaki yang berusia 21 dan 31 tahun itu dikatakan cuba untuk menyogok polis sebanyak RM21,000 ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Hamzah di sini kira-kira pukul 11.50 malam.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu telah melihat sebuah kereta jenis Perodua Kelisa datang dari arah Tumpat menuju ke pusat bandar ini.

Beliau berkata, anggotanya mengarahkan kereta dinaiki dua lelaki itu berhenti di tepi jalan dan pemeriksaan di dalamnya menemukan satu beg pakaian berwarna ungu yang berkunci di tempat duduk belakang.

“Dalam pada masa yang sama salah seorang suspek merayu agar tidak ditahan dan mahu menyogok anggota polis dengan wang tunai RM21,000 dalam satu bungkusan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam beg menemukan 10 bungkusan teh berwarna hijau dan merah yang satu mengandungi sekilogram ketulan-ketulan kristal dipercayai syabu dengan nilai keseluruhan RM500,000,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Hasanuddin, susulan tangkapan itu salah seorang suspek membawa pihak polis ke sebuah rumah di Kampung Merisa, Wakaf King Berangan, Tumpat dekat sini pada pukul 2 pagi, Rabu lalu.

“Suspek itu membawa polis ke sebuah kereta Honda City yang diletakkan di hadapan rumah tersebut. Polis menemukan satu plastik hitam di bahagian bawah ruang tempat duduk belakang kereta.

“Di dalamnya mengandungi bungkusan dan 10 paket berisi 6,000 biji pil kuda dan sembilan paket ketulan kristal dadah jenis syabu seberat 459 gram dan syabu itu bernilai RM188,850,” katanya.

Katanya, polis turut menyita wang tunai RM24,748, dua motosikal jenis Honda EX5 dan Ego LC serta sebuah kenderaan pacuan emoat roda jenis Toyota Hilux dengan nilai rampasan RM94,748. - UTUSAN ONLINE