Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, kes berkenaan merupakan antara lapan kesalahan yang dilakukan dalam kalangan 270 pemandu bas daripada tujuh syarikat sewaktu diperiksa sempena musim perayaan kali ini.

“Dua pemandu terbabit berumur 34 dan 35 tahun didapati mengambil dadah jenis methamphetamine melalui ujian air kencing yang dijalankan. Mereka tidak dibenarkan meneruskan pemanduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ops HRA 2018 (8-24 Jun) dan melakukan pemeriksaan bas di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu semalam bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya terus ditingkatkan.

Menurut Abdul Rahman, pi­haknya juga mengesan lima kes berkaitan cermin retak bas dan pemiliknya dinasihatkan segera menyelesaikannya bagi mengelakkan sebarang komplikasi pada masa depan di samping satu kes melibatkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu.

Beliau memberitahu, dalam tempoh operasi tersebut JPJ akan melakukan rondaan selama 12 jam di sepanjang jajaran Lebuh Raya Pantai Timur 2 (Jabor-Gemuroh), jalan Persekutuan dan jalan-jalan utama negeri, manakala rondaan selama 24 jam dilakukan pada dua hari sebelum dan selepas sambutan Aidilfitri .

“Rondaan itu sebagai ikhtiar menurunkan kadar 10 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya di lebuh raya di samping menyasarkan sifar kemalangan serta kematian meilbatkan bas,” katanya.

Jelas beliau, larangan kenderaan berat juga akan dikuatkuasakan pada 13, 14 Jun dan 23, 24 Jun bertujuan mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan.

“Kenderaan berat yang membawa bahan galian dan muatan balak juga termasuk dalam ka­tegori larangan penuh. Namun pengecualian diberikan kepada kenderaan berat tertentu yang membawa bekalan makanan,” ujarnya.