Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, kes berkenaan merupakan antara lapan kes kesalahan yang dilakukan dalam kalangan 270 pemandu bas daripada tujuh buah syarikat sewaktu diperiksa sempena musim perayaan kali ini.

“Dua pemandu ini berumur 34 dan 35 tahun didapati mengambil dadah jenis Methamphetamine melalui ujian air kencing yang dijalankan. Mereka tidak dibenarkan meneruskan pemanduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  melancarkan Ops HRA 2018 (8-24 Jun) dan melakukan pemeriksaan bas di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu malam tadi bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya terus ditingkatkan.

Menurut Abdul Rahman, pihaknya juga mengesan lima kes berkaitan cermin retak bas, dan pemiliknya dinasihatkan agar segera menyelesaikan kes tersebut bagi mengelakkan sebarang komplikasi di masa depan di samping satu kes melibatkan penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu.

Abdul Rahman menarik perhatian bahawa dalam tempoh operasi tersebut, JPJ juga akan melakukan rondaan selama 12 jam di sepanjang jajaran Lebuh Raya Pantai Timur 2 (Jabor-Gemuroh), jalan Persekutuan dan jalan-jalan utama negeri, manakala rondaan selama 24 jam pula dilakukan pada dua hari sebelum dan dua hari selepas sambutan Aidilfitri .

“Rondaan ini sebagai ikhtiar menurunkan kadar 10 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya di lebuh raya di samping menyasarkan sifar kemalangan dan kematian meilbatkan bas,” katanya.

Tambah beliau lagi, larangan kenderaan berat juga akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan Polis pada 13-14 Jun dan 23-24 Jun dengan tujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Sekatan penuh berkuat kuasa terhadap kenderaan berat seperti low-loader yang membawa bahan binaan, kenderaan motor yang melebihi BDM 7500 kilogram, lori pengangkut rendah, ploe trailer, platform trailer, jentera berat beroda serta traktor.

“Kenderaan berat yang membawa bahan galian dan muatan balak juga termasuk dalam kategori larangan penuh.Namun pengecualian diberikan kepada kenderaan berat tertentu yang membawa bekalan makanan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE