Itu dilakukan dua pegawai TLDM berusia 50 tahun, ma­sing-masing berpangkat Kepten Kapal dan Komander (Pegawai Pemerintah) serta pengurus syarikat berusia 54 tahun yang terlibat dalam pembekalan langsir pasang siap tersebut.

Bagaimanapun, kegiatan ketiga-tiga individu itu terbongkar selepas mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, perintah reman dikeluarkan oleh Pegawai Pendaftar Mahkamah Majistret Langkawi, Muhammad Arof Darus terhadap kesemua suspek bermula hari ini sehingga Isnin depan.

Ujarnya, siasatan awal mendapati pengurus syarikat tersebut telah bersubahat dengan dua pegawai TLDM bagi mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu berhubung kerja pembekalan 122 unit langsir pasang siap di TLDM Puncak Lang Langkawi pada Ogos, tahun lalu.

“Bagaimanapun pembekalan tersebut tidak dibuat sepenuh­nya walaupun bayaran penuh telah dibuat oleh TLDM.

“Kesemua mereka ditahan di SPRM Cawangan Langkawi kira-kira pukul 2.20 petang hingga pukul 7.30 malam untuk membantu siasatan mengikut Sek­syen 18 Akta SPRM 2009,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.