Kejadian pertama pada tahun ini yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam tadi, dipercayai didalangi dua kumpulan penculik untuk tebusan (KFR) yang bersenjata api, bertopeng dan berpakaian hitam.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, dua mangsa yang diculik kumpulan terbabit ialah juragan kapal iaitu Samsul Saguni, 40, dan pembantunya, Usman Yunus, 35.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak kumpulan itu ter­babit dengan kegiatan Abu Sayyaf.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh pada pukul 2 pagi itu, terdapat empat nelayan berada dalam kapal tersebut, bagaima­napun dua lagi nelayan sempat menyembunyikan diri di ruang hadapan bot ketika didatangi penculik.

“Selepas sejam, dua nelayan itu keluar dari tempat persembunyian dan membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Terdahulu Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkenan merasmikan sambutan itu yang dihadiri kira-kira 1,000 orang terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan dan penduduk setempat.

Omar menambah, usaha memburu suspek giat dijalankan pihak polis termasuk mengesan identiti mereka serta memaklumkan sebarang perkembangan lanjut kepada pihak berkuasa Indonesia.

“Kami percaya suspek melarikan mangsa ke satu lokasi yang belum dikenalpasti dan usaha menjejaki mereka masih diteruskan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA) 1971,” jelasnya.