Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa Muhammad Syakir Ashwad Sakri, 8, dan Mohd. Alif Rifhan Rosdi, 11, mendakawa berjaya melarikan diri selepas melompat keluar dari kereta itu ketika tiba di kawasan selekoh kira-kira 500 meter dari tempat mereka diculik.

Difahamkan, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang bermain bola bersama dua lagi rakannya di kawasan lapang berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Cermin di sini.

Menurut Mohd. Alif Rifhan, ketika kejadian, mereka telah didatangi dua warga asing yang memberhentikan kereta sebelum mengajak Muhammad Syakir Ashwad menaiki kereta untuk menunjukkan jalan ke Bukit Telaga.

“Ketika Syakir masuk ke dalam kereta berkenaan, saya ternampak salah seorang warga asing yang berada di bahagian belakang memakai topeng. Waktu itu juga saya segera masuk ke dalam kereta tersebut untuk menarik Syakir keluar.

“Walaubagaimanapun, saya turut terperangkap apabila pintu berkenaan ditutup dan dikunci oleh mereka. Manakala dua lagi rakan saya sempat melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Alif Rifhan berkata, semasa berada di dalam kereta tersebut, lelaki itu telah memberi amaran supaya senyap selain sempat meletakkan hirisan limau di mata Syakir.

“Semasa lelaki bertopeng itu sedang mengerat tali, saya telah membuka kunci pintu dan menarik Syakir sebelum melompat keluar dari kereta berkenaan.

“Ketika itu, kereta bergerak perlahan kerana melalui jalan selekoh. Selepas berjaya melompat keluar, kami segera berlari menyembunyikan diri di belakang sebuah rumah sehingga melihat kereta berkenaan beredar,” katanya di sini hari ini.

Ekoran daripada itu, kedua-dua kanak-kanak terbabit ditemani ibu bapa mereka telah membuat laporan polis di Balao Polis Gual Ipoh di sini Isnin lalu.

Bagaiamanapun Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Suzaini Mohamad mengesahkan menerima laporan namun pihaknya mendapati tiada unsur culik kerana keterangan tidak konsisten. - UTUSAN ONLINE