Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, modus operandi pertama ialah dengan membekalkan tablet dan talian WiFi kepada pemain yang duduk di restoran atau kedai makan yang berhampiran dengan premis judi yang telah ditutup.

“Penjaga akan menandakan nombor di belakang tablet atau telefon pintar untuk memudahkan penjaga memasukkan kredit kepada pemain.

“Bayaran akan dibuat secara terus kepada pemain secara tunai atau transaksi bank jika wang kemenangan tidak mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mazlan memberitahu, modus operandi kedua pula dijalankan apabila pemain diberikan pautan sebelum membuat turun aplikasi dalam Google Play Store dengan menggunakan telefon pintar milik mereka.

Ujarnya, kebiasaannya penjaga akan menyarankan pemain bermain di kedai-kedai yang mempunyai akses WiFi awam seperti kedai mamak, hotel dan kedai yang mempunyai akses internet bagi membolehkan kegiatan tersebut tidak dikesan.

“Cara ini lebih sukar dikesan memandangkan akses internet itu boleh digunakan oleh orang ramai tanpa diketahui pihak berkuasa. Bayaran kemenangan pula akan dilakukan secara transaksi bank,” ujarnya.