Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam tangkapan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun di kawasan tempat letak kereta di sebuah kondominium di Taman Shamelin Perkasa, dekat Cheras.

Menurutnya, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada pukul 3.50 petang selepas dipercayai mengedar dadah jenis methamphetamine.

“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah beg yang dipegang suspek didapati terdapat dua peket plastik besar yang mana masing-masing mengandungi dadah dengan anggaran berat keseluruhan berjumlah 4.148 kilogram.

“Rampasan itu dianggarkan bernilai RM111,100 dan kita percaya ia mampu dibekalkan kepada 4,000 orang penagih sekitar Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsein memberitahu, suspek didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah pada tahun 2008 dan hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine.

“Suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamed Mokhsein berkata, dalam tangkapan kedua, pihaknya menahan seorang pemuda warga Iran berusia 27 tahun di pekarangan lobi sebuah pusat beli-belah di Jalan Peel, Cheras pada pukul 8 malam semalam.

Ujarnya, tangkapan dibuat selepas menerima maklumat awam yang mendakwa suspek mengedar dadah jenis ketamin dan hasil pemeriksaan yang dilakukan menemukan dadah seberat 1.009 kilogram pada suspek.

“Pemeriksaan atas satu beg kertas yang dipegang suspek menemukan di dalamnya dua peket plastik lutsinar berisi dadah tersebut.

“Suspek yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan tidak bekerja malah ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis ketamin dan AMP,” ujarnya.

Tambah Mohamed Mokhsein, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dalam kes ini jumlah rampasan dadah dianggarkan mampu dibekal kepada 2,000 orang penagih sekitar Lembah Klang dengan anggaran nilai rampasan RM61,485.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Suspek ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan di lokap Balai Polis Cheras bermula hari ini sehingga 28 Mei,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE