Dua lelaki berusia 23 dan 20 tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi itu ditahan dalam sekatan jalan raya pada pukul 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, kenderaan dinaiki dua lelaki itu ditahan setelah dilihat dalam keadaan yang mencurigakan.

Katanya, anggota polis kemudiannya telah mengarahkan pemandu untuk memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap mereka.

"Pemeriksaan ke atas suspek tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang namun pemeriksaan ke atas kenderaan itu menjumpai guni mengandungi daun ketum seberat satu kilogram di bahagian tempat simpanan barang di bahagian belakang kereta tersebut.

"Daun ketum tersebut dipercayai untuk dijual di dalam kampus suspek yang merupakan pelajar sebuah kolej di Lumut," katanya.

Menurut beliau, siasatan mendapati kedua-dua mereka tiada rekod jenayah lampau namun hasil ujian saringan air kencing positif dadah jenis methamphetamine. - UTUSAN ONLINE