Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 26 tahun itu ditahan di kediaman mereka kira-kira pukul 2.30 petang semalam selepas kakak kepada tiga beradik terbabit membuat laporan polis.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Ladamah Sulaiman berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian kedua-dua suspek dikatakan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk kira-kira pukul 2 pagi.

“Mangsa pula pada ketika itu sedang tidur di ruang tamu.

“Kedua-dua lelaki tersebut telah bertindak menggunting seluar sehingga sanggup menutup mulut adik perempuan mereka bagi mengelakkan kejadian disedari ahli keluarga lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis daerah di sini hari ini.

Tambah Ladamah, hasil siasatan lanjut mangsa mendedahkan bahawa perbuatan keji dua abangnya itu dilakukan sejak dia berumur 12 tahun.

“Dalam tempoh itu juga, mangsa mendakwa pernah dirogol sebanyak dua kali dan dicabul sebanyak tiga kali.

“Mangsa sebelum ini pernah mengadu kepada ibunya tentang perkara tersebut, namun tidak diendahkan kerana bimbang malu sekiranya perkara itu diketahui jiran terdekat,” jelasnya.

Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Ladamah turut memberitahu, seorang lelaki ditahan kerana dipercayai menetak jirannya di Kampung Sungai Padang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa lelaki, 30, cedera pada bahagian lengan dan ibu jari tangan kirinya hampir putus.

“Disyaki suspek berusia 32 tahun menetak jirannya selepas mangsa menegur suspek supaya tidak memandu kenderaan dengan laju di kawasan perumahan kerana bimbang keselamatan kanak-kanak.

“Bagaimanapun, teguran itu telah menyebabkan berlaku perselisihan faham sehingga menyebabkan suspek menyerang mangsa dengan menggunakan sebilah parang,” katanya.

Jelas Ladamah, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - UTUSAN ONLINE