Perintah tahanan reman bermula hari ini dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Siti Huzaifah Abdul Talib selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim di sini hari ini.

Penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan terhadap dua lelaki berusia 24 dan 21 tahun itu yang masing-masing bekerja penjual percetakan dalam talian dan pengawal keselamatan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam pada 29 Mei, pengadu yang bekerja sebagai penarik kereta telah pergi ke Persiaran Perdana Nilai selepas dimaklumkan mengenai satu kemalangan jalan raya.

Apabila tiba di lokasi kejadian, pengadu berselisih faham dengan suspek yang terlibat dalam kemalangan kerana didakwa memukul seorang pemandu lain yang berbangsa Arab.

Ekoran kejadian itu, suspek dan pemandu berkenaan telah membuat laporan di balai polis.

Kira-kira pukul 7 petang 1 Jun lalu, suspek menghubungi pengadu meminta suapan sebanyak RM3,800 sebagai balasan untuk menarik balik laporan polis kononnya pengadu menghunus pisau terhadapnya semasa kemalangan itu.

Susulan itu, kedua-dua suspek telah ditahan oleh SPRM dalam satu operasi di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada pukul 2 petang semalam. - UTUSAN ONLINE