Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kejadian berlaku pada pukul 9 pagi apabila kedua-dua suspek yang menaiki Proton Saga hitam menghampiri dua wanita sebelum meminta mereka mengeluarkan dokumen diri.

Seorang daripada wanita terbabit gagal mengemukakan pengenalan diri menyebabkan kedua-dua suspek menariknya masuk ke dalam kereta dan dibawa ke pondok polis di Darvel.

"Suspek mengugut mangsa agar membayar RM200 untuk menyelesaikan kes atau dibawa ke Ibu pejabat Polis daerah dan mangsa yang ketakutan kemudian bersetuju untuk membayar wang kepada mereka,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nasri, selepas dibebaskan, mangsa mendapati wang RM250 yang disorokkan di dalam beg tangannya turut hilang dipercayai diambil oleh suspek.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

"Dalam kes berasingan, polis hari ini menahan dua penagih dadah warga Filipina berusia 21 dan 22 tahun dalam Operasi Sarang di sebuah rumah di Ladang Sungai Mas Jalan Lahad Datu-Sandakan dalam operasi pada pukul 2 pagi.

"Polis turut merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 6.09 gram serta 10 gulung kertas timah (aluminium) mengandungi dadah daripada suspek," katanya. - BERNAMA