Gan Jia Ji, 20, dan Yip Kah Hou, 24, masing-masing mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Jia Ji bersama lima lagi yang masih bebas didakwa membunuh Tan Aik Chai, 44, di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pela­ngi, di sini kira-kira pukul 7.30 malam, 17 Disember 2017.

Sementara itu, Kah Hou bersama tiga lagi yang masih bebas didakwa bersubahat melakukan jenayah berkenaan bersama Jia Ji dan lima orang yang masih bebas pada masa, tarikh dan tempat sama.

Jia Ji didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama manakala Kah Hou turut didakwa atas tuduhan sama yang dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 kanun tersebut, masing-masing membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali manakala Kah Hou yang bekerja sebagai pembantu restoran diwakili peguam, Chuah Shyue Chien manakala Jia Ji tidak diwa­kili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 13 Februari ini sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat.

Dalam kejadian pembunuhan itu yang turut tular di media sosial, mangsa yang menaiki kereta Volkswagen Polo berwarna putih bersama-sama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dikatakan isterinya singgah di stesen minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar kereta.

Sebuah kereta BMW dinaiki empat lelaki kemudian tiba di lokasi berkenaan dan suspek ter­babit cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta berkenaan dan berlaku pergelutan sebelum mang­sa ditikam di bahagian dada.