Dalam operasi kira-kira pukul 12.10 pagi, dua suspek berusia 35 dan 26 tahun yang masing-masing merupakan penganggur dan buruh ditahan ketika menaiki kereta jenis Perodua Viva.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Ahmad Adnan Basri berkata, hasil pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar berisi cebisan daun-daun kering disyaki ganja seberat 8.5 gram di dalam beg kecil berwarna coklat dalam poket seluar dipakai pemandu kereta berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ujian air kencing yang diambil mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis THC.

“Semakan pula mengesahkan pemandu kereta tersebut yang berusia 35 tahun, memiliki beberapa rekod kesalahan jenayah lampau yang telah dihukum di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (​Rawatan dan Pemulihan) 1983 selain Seksyen 379 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Adnan berkata, operasi disertai 38 pegawai dan anggota itu turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau berkata, sebanyak 100 buah kenderaan dan 140 individu telah diperiksa dalam operasi tersebut. - UTUSAN ONLINE