Ketika diperiksa, polis menemukan dua paket lutsinar bersiri serbuk dan ketulan berwarna hijau dipercayai heroin, dua bungkusan plastik lut sinar kosong, alat penimbang dan gunting daripada kedua-dua lelaki berusia 29 dan 32 tahun yang berasal dari Baling, Kedah itu.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika diperiksa, suspek itu menghulurkan wang tunai kepada anggota polis dan mahu kes itu diselesaikan.


“Polis yang melakukan rondaan di kawasan itu ternampak sebuah kereta Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah motel di situ pada pukul 12.30 tengah malam dan melakukan pemeriksaan keatas dua lelaki sebelum menemukan heroin yang dianggarkan seberat 56.55 gram.


“Ketika mereka ingin ditahan, suspek terbabit cuba menghulurkan wang tunai sebanyak RM150 kepada anggota polis agar kes itu diselesaikan dan mereka tidak dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Tambahnya, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek itu mendapati mereka positif dadah jenis morfin dan mereka kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39 B dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN ONLINE